Wednesday, December 26, 2007

My Favourite Singer : DATUK SITI NURHALIZA






Datin Seri Siti Nurhaliza binti Tarudin

(lahir 11 Januari 1979) ialah seorang penyanyi no.1 Malaysia.



Biografi

Asal-usul


Siti Nurhaliza dilahirkan di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh, Pahang, Malaysia, kepada bapanya Tarudin bin Ismail, seorang polis, dan ibunya Siti Salmah Bachik, seorang suri rumah. Beliau merupakan anak kelima dalam sekeluarga lapan adik-beradik, yang mana salah satu daripada mereka meninggal setelah lahirnya beliau.


Mula-mulanya, Siti digelar "tomboy" disebabkan kelakuannya yang cergas dan kecenderungannya terhadap penampilan kelelakian. Memasuki Sekolah Tabika Perkep, Balai Polis Kampung Awah, Temerloh. Darjah 1 - Darjah 6, memasuki Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford, akhirnya Siti beralih kepada penampilan yang feminin; ibunya yang tersayang membesarkan Siti Nurhaliza menjadi gadis Melayu yang berbudi bahasa dan anggun senantiasa. Melanjutkan pembelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis, Pahang (Tingkatan 1 - Tingkatan 5). Sewaktu di sekolah, menurut Siti sendiri bahawa beliau sangat aktif dalam sukan.
Siti juga merupakan artis yang menjadi jutawan kerana bakat dan usaha, tidak semata-mata keranan undian atau SMS.

Kerjaya

Siti Nurhaliza bersama anugerah yang dimenangi.
Keluarga Siti Nurhaliza mengadakan persembahan di kebanyakan upacara setempat di kampung halaman mereka, misalnya perkahwinan. Pada usia 12 tahun, Siti mula mempelajari lagu tradisi daripada ibunya, maka teruslah beliau mengikut jejak keluarga beliau dengan menyanyi di majlis-majlis di sekitar tempat tinggalnya.
Kemudian, sementara beliau meneruskan kerjaya menyanyinya, Siti menyertai pelbagai pertandingan bakat tempatan. Pada usia 16, beliau bertanding dalam Bintang RTM 1995. Ketika itu, beliau menemui Adnan Abu Hassan, seorang penggubah terkenal. Adnan membimbing dan membantu Siti dengan persembahan vokal beliau, maka beliau dapat menjuarai pertandingan itu. Selepas itu, Siti ditawarkan kontrak rakaman bersama Suria Records, iaitu tempat kerja Adnan, maka pada tahun 1996 beliau mengeluarkan album sulung beliau, Siti Nurhaliza. Beliau menghadapi cabaran getir sewaktu membikin album pertamanya kerana terpaksa mengimbangkan pembikinan itu dengan persediaan menghadapi peperiksaan SPM. Walaubagaimanapun, beliau hanya lulus SPM dengan keputusan yang cukup-cukup makan sahaja (dipercayai memperoleh pangkat 2 bagaimanapun ada pihak mengatakan pangkat 3). Sungguhpun demikian, album pertamanya sangat berjaya, dan ini memberi laluan kepada album-album seterusnya yang turut berjaya. [1]
Selepas album sulungnya dihasilkan, Siti Nurhaliza menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam persada muzik Melayu. Beliau terus mencatat banyak lagi lagu-lagu hit. Lagunya merangkumi pelbagai jenis irama muzik popular seperti muzik pop, R&B dan Melayu tradisi. Suara dan lirik lagu-lagu beliau menjadikannya amat terkenal dengan remaja tempatan. Oleh itu, beliau mampu mendominasi pelbagai majlis anugerah selama bertahun-tahun.


Timbulnya artis baru untuk bersaing, seperti Siti Sarah yang dikatakan sebagai pelapis persada muzik Melayu. Kemunculan Mawi pada tahun 2005 dikatakan bakal merampas kemasyhuran penyanyi ini. Bagaimanapun, Mawi masih perlu berusaha gigih untuk betul betul dikenali di rantau ini terutamanya di Indonesia yang telah lama didominasi Siti. Siti juga dikritik oleh beberapa pihak, kononnya kerana gayanya yang ketinggalan zaman, sementara artis-artis lain mengikuti trend pop terkini. Walau bagaimanapun, Siti Nurhaliza tetap mengamalkan prinsip lama, dan masih merupakan seorang tokoh Melayu popular dan ternama. Siti masih menjadi tumpuan peminat, Siti juga pernah mendapat pujian oleh tokoh ulama' dari Indonesia yang menyeru supaya artis-artis mencontohi keperibadian Siti yang tidak pernah lekang dari adat keMelayuan. Boleh dikatakan sudah tiada artis seperti Siti pada hari ini. Dengan kehebatan yang dimiliki, membuatkan salah seorang selebriti Malaysia demam selepas bergambar dengan Siti Nurhaliza


Siti menjayakan konsert solo di Royal Albert Hall yang berprestij di London pada 1 April 2005, sungguhpun kebanyakan penonton ketika itu berbangsa Malaysia yang menetap di UK atau datang dari tanahair. Beliau merupakan satu-satunya penyanyi Malaysia selepas Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang pernah mengadakan persembahan di dewan tersebut. Pada lewat tahun yang sama beliau di Taiwan untuk berduet dengan Lee-Hom Wang(MODEL CELCOM) dengan mendendangkan lagu berbahasa Mandarin berjudul Yue Liang Daibiao Wo de Xin yang asalnya dinyanyi oleh mendiang Teresa Teng.

Teh CTEA berperisa Pandan


Siti juga mengorak langkah dalam bidang perniagaan dengan mewujudkan produk teh dengan jenama CTEA. Dari kaki gunung Kinabalu, Sabah, Siti Nurhaliza Marketing membawa perisa pandan dan geranium kepada masyarakat Malaysia. Berniaga merupakan aktiviti yang sudah sebati dengan Siti, dan jenama CTEA merupakan bisnes keluarga.


Pada tahun 2006 beliau sekali lagi mencipta kontroversi dengan berkahwin dengan Datuk Khalid Muhammad Jiwa dan menjadi Perkahwinan Terbesar pada tahun tersebut. Beliau juga telah mengorak langkah menjadi penggubah apabila mencipta dua lagu yang dimuatkan di dalam album terbarunya Transkripsi iaitu Hati Berbisik dan Intrig Cinta.


Siti Nurhaliza juga telah memeriahkan acara permaidani merah di Anugerah Grammy yang bertempat di Staples Center, Los Angeles pada 11 Februari 2007. Pembabitan Siti Nurhaliza ini menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama diberi penghormatan melalui permaidani merah di arena Grammy yang berprestij.
Selain itu, Siti Nurhaliza juga telah memeriahkan industri televisyen apabila menerbitkan siri tv realiti yang berjudul Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene. Program ini adalah cetusan dari Siti Nurhaliza, dan dengan pembabitan Pantene. Program ini mendapat sambutan hangat sehinggakan program yang sama diwujudkan di negara Indonesia. Siti juga telah turun padang apabila turut sama menjayakan lima episod di Indonesia.
2007 menyaksikan pembabitan Siti dengan konsert besar apabila beliau mengadakan konsert khas bagi mengenang Lagenda Negara, Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma. Konsert ini diberi nama 'Istana Cinta : Tan Sri P.Ramlee & Puan Sri Saloma'. Konsert ini berlangsung selama 2 hari berturut-turut di Istana Budaya. Ramai kenalan artis dan tokoh negara yang hadir, termasuk Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya. Konsert ini disiar tayang di RTM1, dua hari sebelum ulangtahun pemergian P.Ramlee. Usaha beliau yang murni ini akan terus diabadikan apabila Siti Nurhaliza Production bersetuju untuk menerbitkan DVD/VCD khas untuk konsert tersebut.

Perkahwinan Siti Nurhaliza dengan Datuk K

Siti Nurhaliza bersama Datuk Khalid


Siti telah pun menamatkan zaman bujangnya dengan mengumumkan perkahwinan beliau dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa (bekas suami kepada Tengku Zawiyah Tengku Izham), atau dikenali sebagai Datuk K, seorang ahli perniagaan, pada 17 Julai 2006 setelah mengharungi banyak khabar angin mengenai perkara ini. Pengumuman perkahwinan mereka disiarkan secara langsung di TV3 (melalui slot Wanita Hari Ini) dan RTM1. Pada awal paginya, berita radio RTM menyatakan satu sidang media akan diadakan Siti.
Majlis akad nikah kedua-dua pasangan itu telah diadakan pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur.Lebih 2 juta penonton menonton pernikahan mereka secara langsung di TV3 (jumlah yang tinggi kerana diadakan pada waktu bekerja). Manakala seminggu selepas itu pada 28 Ogos 2006 acara persandingan kedua-dua pasangan ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur dan seminggu kemudiannya, di Kuala Lipis iaitu kampung asal Siti Nurhaliza.
Majlis persandingan beliau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dihadiri oleh ramai orang kenamaan termasuk tetamu diraja. Persandingan ini disiarkan secara langsung oleh TV3 dan mendapat sambutan hangat dan ditontoni oleh 6.3 juta rakyat Malaysia, sekaligus mencatatkan sejarah dalam penerbitan negara.Tidak ketinggalan, Siti juga mengalunkan sebuah lagu yang cukup indah, ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri berjudul Cahaya Cinta.Bagaimanapun ramai peminatnya kecewa apabila radio Hotfm milik Media Prima yang menguasai TV3 tidak menyiarkannya secara langsung.
Majlis persandingan Siti Nurhaliza & Datuk Khalid di Kuala Lipis dihadiri oleh 10,000 peminat dari serata negeri, termasuk dari Indonesia dan Singapura.

Siti Sebagai Ikon Semasa


Sepanjang perjalanan karier beliau, Siti Nurhaliza sering kali disenaraikan sebagai antara ikon semasa yang seringkali disebut di dalam filem mahupun iklan. Antaranya, poster Siti Nurhaliza ditunjukkan di dalam filem "KL Menjerit", gambar Siti di dalam filem "Aku No.1", filem "Diva Popular" yang dikatakan berkisarkan Siti, drama bersiri "Fara" turut menyebut nama Siti Nurhaliza,dalam drama spa Q, pelakon Elly Mazlein juga menyebut nama Siti Nurhaliza sambil menyanyi bait-bait lagu Percayalah dan iklan-iklan yang menggunakan nama Siti. Bukan itu sahaja, Siti juga tidak keberatan untuk melawat beberapa pesakit yang juga peminatnya sendiri yang ingin menemuinya di hospital.

Gelaran Datin, Datuk & Datin Seri
Belum genap tiga bulan bergelar Datin setelah berkahwin dengan Datuk Khalid, Siti Nurhaliza dikurniakan anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), yang membawa gelaran "Datuk"). Anugerah berlangsung pada 28 Oktober 2006 dan dianugerahkan oleh Sultan Pahang sempena hari keputeraan baginda. Selepas setahun membawa gelaran Datuk, Siti menyandang pula gelaran Datin Seri yang dianugerahkan oleh Sultan Pahang sekali lagi sempena hari keputeraan baginda ke-77 untuk suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Syarikat


Siti juga telah menubuhkan syarikat-syarikatnya tersendiri untuk membantu mengembangkan kerjaya beliau sebagai artis dan juga ahli perniagaan. Syarikat-syarikat tersebut adalah Siti Nurhaliza Productions (SNP), Siti Nurhaliza Collections Sdn. Bhd. dan Siti Nurhaliza Marketing Sdn. Bhd. Terbaru, beliau telah megembangkan lagi sayap perniagaanya dengan menambah lagi beberapa syarikat antaranya Siti Sounds Sdn. Bhd. dan SN Digital Sdn. Bhd.

Album


Setelah setahun lebih mencari material untuk album tradisional, Siti kini mengorak langkah dalam menghasilkan album pop. Siti menjelaskan bahawa material tradisional masih belum mencukupi, namun material untuk album pop sudah diterima. Album pop yang masih mengekalkan komposer dari dua negara, Malaysia dan Indonesia dijangka menjengah pasaran akhir tahun ini(2007)

Album Studio

2007: Hadiah Daripada Hati
2006: Transkripsi
2004: Prasasti Seni
2003: E.M.A.S
2002: Sanggar Mustika
2001: Safa
2000: Sahmura
1999: Pancawarna
1998: Adiwarna
1997: Cindai
1997: Siti Nurhaliza
1996: Siti Nurhaliza

No comments: